SELAMAT DATANG KE BLOG KAMI        WELCOME TO OUR BLOG       اهلا و سهلا و مرحبا بكم في بلوقنا

Takwim Sekolah

Pengenalan

       1.      SOROTAN RINGKAS SEJARAH

Pusat Pengajian Islam Tok Kenali (PPITK) yang dahulunya dikenali sebagai Pondok Tok Kenali adalah kesinambungan institusi pengajian agama yang diusahakan semula oleh cicit Tok Kenali.

Tok Kenali ialah seorang pejuang, pengasuh dan pendidik sehingga melahirkan ramai agamawan negara.Tok Kenali atau nama sebenarnya, Muhammad Yusof (nama timang-timangan beliau ialah Awang) dilahirkan di Kampung Kenali, Kelantan pada 1870 Masihi. Beliau mempunyai pertalian yang rapat dengan pertumbuhan sistem pengajian pondok yang terdapat di negara ini amnya, dan di Kelantan, khususnya. Beliau menjadi ulama dan umara yang memperkenalkan sistem pengajian pondok pertama di Nusantara.

Tok Kenali telah membuka dua buah pondok di kampung kelahirannya di Kampung Belukar Kubang Kerian, Pondok Tok Kenali sekarang dan sebuah lagi di tapak USM Kubang Kerian sekarang iaitu dalam jajahan Kota Bharu. Di situlah beliau berjuang, mengasuh dan mendidik anak-anak muridnya dari rantau nusantara termasuk   Selatan Thailand, Singapura dan Indonesia, selain penduduk negeri-negeri lain dari Malaysia hingga melahirkan ramai tokoh agama yang kemudian pulang membuka pondok pengajian di tempat masing-masing. Jasa beliau yang telah melahirkan ramai angkatan ulama yang memegang serta mengembangkan pengajian Islam bukan sahaja di negeri Kelantan dan Malaysia, malah di Thailand, Kampuchea dan Indonesia di separuh abad pertama kurun ke- 20 telah menyebabkan namanya tersohor  dan  diingati sehingga kini oleh para sejarawan tanah air dan rakyat Kelantan khususnya . Beliau juga telah membawa kemuncak kemajuan pengajian tatabahasa Arab, Nahu Sorof dan Balaghah di dalam sistem pelajaran pondok yang mana kepakaran beliau pada waktu itu dalam bidang-bidang tersebut merupakan satu lagenda dalam kalangan  ilmuan pada zaman tersebut kerana dikatakan dalam kebanyakkan waktu beliau mengajar tanpa menggunakan kitab.

Selepas pemergian Tok Kenali pada 19 November, 1933 , Pusat Pengajian Pondoknya telah disambung oleh anak pertamanya,Tuan Guru Haji Ahmad yang digelar ‘Tok Bakok”. Selepas pemergian Tok Bakok, anaknya iaitu Tuan Guru Haji Wardi (lebih disenangi dengan panggilan Ustaz Mawardi) menyambung perjuangan Tok Kenali. Pada tahun 1984, Ustaz Haji Mawardi telah membuka sekolah rendah agama iaitu “MADINATUL ‘ILMI”  yang sekarang ini dikenali sebagai “Sekolah Rendah Islam Tok Kenali” di atas tanah pusaka datuknya(Tok Kenali) –Tapak Asal Pondok Tok Kenali. Penubuhan sekolah ini adalah bertujuan untuk menghidupkan semula suasana Pengajian Ilmu di tapak yang bersejarah ini supaya terus berkekalan selamanya.

Kini Ustaz Muhammad Hafiz Hukmi Bin Wardi, cicit Tok Kenali, telah menyambung kembali matlamat dan amanat moyangnya untuk mengimarahkan kembali Pondok Tok Kenali. Pondok Tok Kenali kini telah jenamakan sebagai Pusat Pengajian Islam Tok Kenali, sesuai dengan peredaran zaman dan kebangkitan Islam hari ini sebagai kesinambungan usaha dan perjuangan Tok Kenali. Pusat Pengajian Islam Tok Kenali yang merangkumi Masjid Tok Kenali, Sekolah Rendah Islam Tok Kenali, Madrasah Tahfiz Tok Kenali dan Tadika Pintar Al- Kenali sedang giat dimajukan untuk mengekalkan institusi pengajian agama di tanah tapak asal Pondok Tok Kenali.

Setiap tahun Pusat Pengajian Islam Tok Kenali telah dikunjungi oleh ratusan pengunjung dari dalam dan luar negara. Kedatangan mereka adalah untuk melihat tinggalan sejarah tapak asal Pondok Tok Kenali. Sebilangan besar pengunjung adalah daripada pelajar universiti yang datang untuk membuat kajian tentang tapak peninggalan sejarah Pondok Tok Kenali. Rata-rata pengunjung datang untuk melihat tinggalan sejarah Masjid Tok Kenali yang dibina pada tahun 1909 dan telah dinaiktaraf oleh Tok Bakok pada 1957 yang menjadi pusat ilmu utama pada satu masa dahulu yang dikelilingi oleh pondok-pondok kecil penuntut dari segenap lapisan umur.

Jumlah pengunjung adalah meningkat saban tahun walaupun keadaan Pondok Tok Kenali sudah tidak seperti dulu lagi. Ada dalam kalangan pengunjung yang datang melawat Sekolah Rendah Islam Tok Kenali dan Madrasah Tahfiz Tok Kenali setelah mengetahui tempat pengajian ini adalah tapak asal pondok-pondok kecil yang didiami oleh pelajar-pelajar Tok Kenali di masa dahulu. Walaupun kini hanya masjid yang menjadi tinggalan sejarah, tempat ini masih menjadi pusat ilmu yang disambung usaha oleh cicitnya.


2.      PENUBUHAN SEKOLAH


Mula beroperasi pada 1 hb januari 2012. Nama sebelumnya adalah sekolah rendah islam madinatul ilmi. Cicit kepada Tok Kenali, Ustaz Muhammad Hafiz Hukmi b Wardi sekarang ini mengambil tanggungjawab untuk meneruskan amanah yang dibuat oleh moyang beliau bagi memartabatkan ilmu agama di samping ilmu moden di sekolah ini. Tapak sekolah ini adalah merupakan tapak asal Pondok Tok Kenali yang ditubuhkan pada 1909, sebaik sahaja beliau balik dari Tanah Suci Mekah.

                    TUJUAN PENUBUHAN

1.     Menyambung kembali matlamat dan amanat ilmuan Tok Kenali.
2.  Merupakan usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan potensi diri individu secara holistik daripada aspek duniawi dan ukhrawi yang berpaksikan Al Quran dan As Sunnah.
3.     Melahirkan generasi warasatul anbia’.
4.     Melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti secara istiqamah untuk membangun potensi diri individu muslim.


           3.    MATLAMAT SEKOLAH

3.1. MATLAMAT UMUM

·         Melahirkan murid yang soleh dan solehah.
·         Membekal serta memantapkan ilmu deeni dan duniawi.
·         Meluaskan minda yang sahih dan sejajar dengan pembangunan alam.
·         Menilai serta merealisasikan amalan yang seimbang.
·         Meningkat dan mengekalkan pencapaian tertinggi dalam bidang pendidikan mencakupi aspek pengurusan dan pentadbiran
·         Memastikan bahawa pihak sekolah sentiasa mendapat sokongan dan kerjasama dari pelbagai pihak


3.2. MATLAMAT KHUSUS

·         Menguasai ilmu Al-Qur’an dengan sebaik mungkin.
·         Melahirkan murid yang cemerlang dalam kurikulum, kokurikulum dan sahsiah Islamiah. 
·         Meningkatkan daya kreativiti dan bakat murid.
·         Membasmi kadar murid yang tidak dapat menguasai kemahiran membaca, menulis, mengira dan menaakul ( 4 M ).
·         Meningkatkan jumlah bilangan dan peratusan 6A UPSR dan 8A dalam UPSRIP.
·         Membina dan memupuk semangat berakhlak mulia/ sahsiah Islamiah mengikut Assunnah Nabi SAW.
·         Melatih murid menunaikan amalan fardhu ain dan sunat dengan betul dan rajin.
·         Melahirkan murid yang berdisiplin dan bermoral tinggi.
·         Melahirkan murid yang mematuhi dan setia segala perintah Allah SWT.


          4.      SISTEM PENDIDIKAN SRI TOK KENALI
Sistem Pendidikan SRI Tok Kenali merupakan sistem pendidikan yang merangkumi kurikulum, kokurikulum dan penghayatan Islam yang mampu membentuk sahsiah individu muslim.
                                                 
4.1. KURIKULUM
Kurikulum SRI Tok Kenali merupakan hasil gabungan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) / Dokumen  Standard dan Pentaksiran  Sekolah Rendah (DSKP) dan Kurikulum Pendidikan Islam (KPI) serta Pratahfiz.

4.1.1 WAKTU OPERASI
HARI
WAKTU OPERASI
AHAD
7.40 PG – 4.00 PTG
ISNIN
7.40 PG – 4.00 PTG
SELASA
7.40 PG – 4.00 PTG
RABU
7.40 PG – 4.00 PTG
KHAMIS
7.40 PG – 2.00 PTG
JUMAAT
CUTI
SABTU
CUTI

·         Mengikut takwim persekolahan Kementerian Pendidikan Malaysia



1 comment:

  1. Ade nombor tlfon sekolah dia skrg tak untk saya dapatkan maklumat lebih lanjut berkaitan pelajar disana skrg.

    ReplyDelete